fb fb fb fb fb

DNA bongkar lelaki Mesir Purba keturunan Mesopotamia

Foto REUTERS

LONDON, 3 Julai-Seorang lelaki yang hidup sekitar 4,500 tahun lalu pada era Mesir Purba didapati mempunyai 20 peratus keturunan dari Mesopotamia, berdasarkan kajian DNA terbaharu oleh sekumpulan penyelidik United Kingdom.

Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Nature pada Rabu, dan merupakan kejayaan pertama dalam menyahkod keseluruhan genom individu yang hidup pada era Mesir Purba.

Kajian itu dilakukan ke atas rangka lelaki berkenaan yang ditemui tertanam dalam bekas seramik besar di sebuah makam batu dekat Beni Hassan, kira-kira 270 kilometer dari Kaherah.

Penemuan itu membuktikan wujud hubungan rapat antara Mesir dan Mesopotamia yang merupakan dua tamadun besar ketika itu.

Menurut pasukan penyelidik berkenaan, lelaki itu meninggal dunia pada usia sekitar 60 tahun, dan dipercayai hidup ketika zaman awal pembinaan piramid seperti Piramid Djoser dan Piramid Agung di Giza.

Hasil kajian menunjukkan 80 peratus keturunan lelaki itu berasal dari Mesir dan Afrika Utara, manakala 20 peratus lagi dari kawasan yang kini dikenali sebagai Iraq, Iran dan Syria.

“Ini menunjukkan hubungan genetik antara Mesir dan Timur Tengah sejak ribuan tahun dahulu,” kata ketua penyelidik, Adeline Morez Jacobs.

Rangka lelaki itu menunjukkan tanda-tanda penyakit tua seperti tulang rapuh dan jangkitan gigi.

Struktur tulangnya juga menunjukkan beliau mungkin bekerja sebagai tukang tembikar, berdasarkan posisi duduk yang kerap seperti yang ditunjukkan dalam lukisan zaman Mesir Purba.

Walaupun tukang tembikar biasanya dikaitkan dengan golongan biasa, lelaki tersebut dikebumikan dalam makam batu yang menunjukkan beliau mungkin seorang yang dihormati.

Kajian DNA purba di Mesir mengalami kesukaran kerana cuaca panas merosakkan bahan genetik. Namun pengebumian lelaki ini dalam bekas tertutup dan tidak melalui proses mumia membantu DNA kekal terpelihara.

Ini adalah kali pertama saintis berjaya menyusun sepenuhnya DNA seseorang dari zaman Mesir Purba, menjadikannya satu kejayaan besar dalam bidang kajian genetik dan sejarah.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD