BERLIN, 3 Julai - Menteri Pembangunan Jerman Reem Alabali-Radovan memberi amaran mengenai kesan serius terhadap golongan miskin di seluruh dunia susulan penutupan rasmi Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), lapor agensi berita Jerman dpa.
"Jerman mahupun Eropah tidak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Amerika, yang selama ini merupakan penyumbang bantuan terbesar dunia.
"Namun kita perlu mencegah berlakunya malapetaka yang lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio mengumumkan penamatan rasmi USAID, agensi utama Washington dalam menyalurkan bantuan luar selama beberapa dekad.
Beliau mempertahankan keputusan itu dengan alasan bahawa matlamat pembangunan jarang dicapai dan sebaliknya, ketidakstabilan serta sentimen anti-Amerika dilihat semakin meningkat.
Alabali-Radovan daripada Parti Demokratik Sosial (SPD) menyatakan bahawa dengan penarikan Amerika, Jerman kini menjadi penyumbang utama dalam banyak sektor.
"Saya mahu menggunakan kedudukan baharu ini untuk menyusun semula kerjasama antarabangsa secara strategik," katanya.
Beliau juga berkata bahawa beliau bergantung kepada kerjasama yang lebih erat dalam Kesatuan Eropah dan pembaharuan bagi memperkukuh keupayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu menghadapi masa depan tanpa USAID.
USAID sebelum ini menjalankan pelbagai program bantuan global merangkumi rawatan HIV/AIDS hingga kepada pemulihan pasca-konflik.
Satu kajian baru-baru ini memberi amaran bahawa pemotongan terhadap agensi itu boleh menyebabkan lebih 14 juta kematian dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet, kira-kira lima juta daripadanya melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun.- BERNAMA