fb fb fb fb fb

Undi tidak percaya terhadap Presiden Suruhanjaya Eropah, 10 Julai

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen/foto Bernama

BRUSSELS, 3 Julai - Usul undi tidak percaya terhadap Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen akan dibahaskan pada 7 Julai dan diundi pada 10 Julai semasa sesi pleno Parlimen Eropah di Perancis, menurut seorang Ahli Parlimen Eropah (MEP) menerusi hantaran di platform X pada Khamis.

Laporan Anadolu Ajansi (AA) menyatakan bahawa usul itu diluluskan oleh Mesyuarat Persidangan Presiden (Conference of Presidents - COP) selepas memperoleh 79 tandatangan.

“Usul undi tidak percaya terhadap Ursula von der Leyen baru sahaja melepasi saringan COP. Terdapat 79 tandatangan. Ia akan dibahaskan Isnin depan dan diundi pada Khamis di Strasbourg,” menurut MEP Romania, Gheorghe Piperea yang membentangkan usul itu.

Usul itu berpunca daripada dakwaan bahawa von der Leyen melanggar piawaian ketelusan Kesatuan Eropah (EU) apabila enggan mendedahkan mesej teks dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla semasa rundingan vaksin COVID-19 pada 2021.

Walaupun Mahkamah Keadilan Eropah telah memihak kepada seorang wartawan yang memohon akses kepada mesej itu, Suruhanjaya masih belum mendedahkan kandungannya.

Dalam temu bual bersama Anadolu, Piperea turut menuduh Suruhanjaya bersikap hipokrit kerana mengenakan piawaian ketat berkaitan kedaulatan undang-undang terhadap negara-negara Eropah Timur, namun melindungi dirinya daripada sebarang semakan.

Walaupun undi tidak percaya itu dijangka tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, Piperea berpendapat ia tetap membawa mesej simbolik yang kuat.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH