fb fb fb fb fb

Diplomat tertinggi Palestin bertemu pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Riyad al-Maliki / AFP

THE HAGUE, 26 Oktober- Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Riyad al-Maliki mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ketika perang antara Israel dan Hamas di Gaza terus berlarutan.

Lawatan Maliki ke mahkamah itu dibuat sehari selepas beliau kesal dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak bertindak menghentikan 'pembunuhan beramai-ramai' di Gaza oleh Israel, yang sebahagian besarnya membunuh orang awam.

"Hari ini, Dr Riyad al-Maliki melawat ICC dan mengadakan pertemuan dengan Presiden, Pendakwa Raya dan Pendaftar Mahkamah," kata ICC dalam satu kenyataan.

Lawatan tersebut tidak diumumkan kepada media, tetapi dalam video yang dikeluarkan ICC, Maliki dilihat berjabat tangan dengan Presiden Mahkamah, Piotr Hofmanski, Ketua Pendakwa Raya, Karim Khan dan Pendaftar, Osvaldo Zavala Giler sebelum perbincangan dilakukan.

ICC enggan mengulas mengenai butiran lawatan Maliki.

Maliki bagaimanapun bersedia untuk memberi kenyataan pada pagi Khamis dalam satu sidang media di The Hague.

Pejabat Khan pada awal bulan ini memaklumkan, mereka secara 'berterusan mengumpul maklumat' untuk menyokong siasatan terhadap situasi Palestin.

ICC membuka siasatan rasmi pada 2021 ke atas wilayah Palestin yang diduduki Israel, termasuk jenayah yang didakwa dilakukan oleh tentera Israel dan oleh Hamas serta kumpulan bersenjata Palestin.

"Pejabat pendakwa raya 'menempatkan pasukan khusus untuk memajukan penyiasatan berhubung situasi di Palestin, kali pertama pasukan sumber penuh ditubuhkan berhubung situasi ini," katanya.

Ditubuhkan pada 2002, ICC adalah satu-satunya tribunal bebas global yang menyiasat jenayah terburuk di dunia, termasuk pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel yang bukan ahli ICC, menolak untuk bekerjasama dengan siasatan atau mengiktiraf bidang kuasanya. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI