fb fb fb fb fb

Diplomat diusir, perjanjian dagang dibatal – Dunia hantar isyarat tegas kepada Israel

Tentera Israel mengacukan senjata api ke arah aktivis dan sukarelawan yang berada atas kapal 'Florida' sebahagian daripada flotila bantuan antarabangsa ke Gaza/ AFP

JOHANNESBURG, 2 Oktober- Kecaman antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak selepas rejim itu memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa pada awal pagi Khamis dengan beberapa negara menuntut pembebasan segera rakyat masing-masing yang ditahan tanpa asas undang-undang.

Global Sumud Flotilla (GSF) melibatkan sekitar 45 kapal membawa aktivis, ahli parlimen serta sukarelawan kemanusiaan berlepas dari Sepanyol bulan lalu bagi memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan terus kepada rakyat Palestin yang ketika ini berdepan krisis kebuluran berikutan perang berpanjangan.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menyifatkan tindakan Israel 'menculik' aktivis di laut terbuka sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta mencabuli kedaulatan negara-negara yang kapalnya terlibat dalam misi tersebut.

Antara ditahan termasuk cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela, serta aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.

Di Itali, Perdana Menteri, Giorgia Meloni mengesahkan 22 rakyatnya ditahan Israel namun kekal mengkritik misi flotila sebagai tidak membantu Palestin.

Sebaliknya, kesatuan sekerja di negara itu menggesa mogok besar-besaran sebagai bantahan, menyifatkan Israel sedang melanggar undang-undang antarabangsa dan menuntut tindakan segera menghentikan penindasan.

Turkiye pula membuka siasatan jenayah terhadap Israel atas kemungkinan pertuduhan penculikan, penyeksaan dan perampasan kapal selepas 24 warganya ditahan dalam operasi pemintasan tersebut.

Di Sepanyol, kerajaan memanggil wakil diplomatik Israel di Madrid susulan 65 rakyatnya dipercayai berada dalam flotila berkenaan, manakala Brazil mengecam keras tindakan Israel yang disifatkan mengancam keselamatan penunjuk perasaan aman dan menuntut perlindungan ke atas 15 warganya yang menyertai misi itu.

Colombia menjadi negara paling tegas apabila Presidennya, Gustavo Petro mengusir semua diplomat Israel serta membatalkan perjanjian perdagangan bebas sebagai bantahan terhadap penahanan dua aktivis wanita Colombia di atas kapal flotila tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel menerusi Instagram memaklumkan prosedur penghantaran balik semua aktivis misi berkenaan ke Eropah akan dimulakan, serta menyatakan mereka yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat.

GSF pula menegaskan misi bantuan tidak akan dihentikan walaupun kebanyakan kapal telah dipintas. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA