BAITULMAQDIS, 2 Oktober- Israel mengumumkan akan mengusir pulang aktivis pro-Palestin yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selepas tentera lautnya menahan beberapa kapal di Laut Mediterranean pada awal pagi Khamis.
Setakat petang ini, lebih 30 daripada 45 kapal telah ditahan atau dipercayai ditahan, menurut sistem penjejakan flotilla.
GSF yang melibatkan kira-kira 45 buah kapal, memulakan perjalanan bulan lepas dengan menyertai tokoh politik dan aktivis termasuk pencinta alam Sweden, Greta Thunberg, bagi memecah sekatan Israel terhadap wilayah Palestin itu, yang menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kini menghadapi kebuluran.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel menerusi Instagram memaklumkan prosedur penghantaran balik semua aktivis ke Eropah akan dimulakan.
Kementerian itu menyatakan aktivis dan sukarelawan yang ditahan itu berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Tentera Laut Israel mula menahan kapal GSF pada Rabu bagi menghalang misi bantuan itu dari memasuki perairan, termasuk kapal Thunberg yang dihentikan daripada meneruskan perjalanan.
GSF menegaskan penahanan itu adalah "haram" kerana kapal berada di perairan antarabangsa, sambil menambah komunikasi dengan beberapa kapal lain telah hilang.