fb fb fb fb fb

Asrama sekolah runtuh di Jawa, 59 pelajar masih hilang

Foto REUTERS

SIDOARJO, 2 Oktober - Kira-kira 59 orang masih belum ditemukan selepas sebuah asrama sekolah di Pulau Jawa runtuh ketika para pelajar berkumpul menunaikan solat, awal minggu ini.

Insiden pada Isnin lalu itu berlaku secara tiba-tiba, menyebabkan sebahagian bangunan bertingkat berkenaan runtuh.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), seramai 91 orang dipercayai tertimbus dengan sekurang-kurangnya lima disahkan meninggal dunia setakat ini.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari berkata, sehingga malam Rabu, kira-kira 59 orang masih belum ditemukan.

Namun angka itu dijangka boleh berubah” kerana ada mangsa yang terselamat belum tampil membuat laporan.

Keluarga mangsa yang masih hilang dilihat menunggu di sekitar lokasi runtuhan, sementara penduduk setempat menawarkan rumah mereka sebagai tempat perlindungan sementara.

“Saya berada di sini sejak hari pertama. Saya masih berharap adik saya selamat,” kata Maulana Bayu Rizky Pratama, 28, yang kehilangan adik lelakinya berusia 17 tahun.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar lima mangsa yang terselamat pada Rabu.

Namun, terdapat ibu bapa mendesak agar operasi pencarian dipercepatkan.

Abdul Hanan, bapa kepada seorang pelajar berusia 14 tahun yang masih hilang, mendakwa mendengar suara kanak-kanak meminta tolong dari bawah runtuhan.

“Operasi menyelamat mesti dipercepatkan,” katanya.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Mohammad Syafii menjelaskan, kerja-kerja pencarian sukar kerana getaran di satu kawasan boleh menjejaskan kawasan lain,

Ini menyebabkan pasukan penyelamat perlu menggali terowong bawah tanah sedalam kira-kira 60 sentimeter untuk sampai kepada mangsa.

Namun, usaha itu berisiko mencetuskan tanah runtuh.

Pasukan turut menggunakan dron pengesan haba dan kamera bagi mencari mangsa.

Sementara itu, BNPB dalam kenyataannya berkata, bangunan runtuh akibat kegagalan tiang asas menampung beban tambahan selepas pembinaan tambahan dilakukan.

Amalan pembinaan tidak menepati piawaian menjadi isu berulang di Indonesia, apabila banyak struktur ditinggalkan separuh siap sebelum ditambah tingkat baharu apabila kewangan mengizinkan.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan cedera apabila sebuah bangunan yang digunakan untuk majlis doa runtuh di Jawa Barat. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD