GAZA, 2 Oktober - Tindakan Rejim Israel memintas 13 kapal flotila ke Gaza, dikecam beberapa pemimpin dunia.
Tindakan itu sekali gus menghalang penghantaran ubat-ubatan dan makanan untuk penduduk yang sudah lama menderita di bawah kepungan yang berlarutan hampir dua tahun.
Turkiye menyifatkan serbuan itu sebagai “serangan pengganas” yang membahayakan nyawa orang awam tidak bersenjata, manakala Presiden Colombia Gustavo Petro mengarahkan semua diplomat Israel diusir serta-merta selain menamatkan perjanjian perdagangan bebas dengan Tel Aviv.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Israel yang menahan lapan warganegara, sambil menegaskan bahawa operasi tersebut menunjukkan “penghinaan terhadap hak rakyat Palestin dan hati nurani dunia.”
Global Sumud Flotilla (GSF), terdiri lebih 40 kapal membawa kira-kira 500 aktivis, ahli parlimen dan peguam dari seluruh dunia termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, menjadi sasaran selepas mendekati 70 batu nautika dari Gaza.
Organisasi penganjur menyifatkan Israel melakukan jenayah perang kerana memintas kapal-kapal itu di perairan antarabangsa menggunakan taktik agresif termasuk meriam air serta gangguan komunikasi.
Bagaimanapun, 30 kapal lain dilaporkan masih meneruskan pelayaran ke arah Gaza dengan semangat mencabar sekatan Israel, meskipun risiko serangan berulang kali diingatkan oleh Tel Aviv.
Israel mempertahankan tindakannya dengan mendakwa konvoi berkenaan melanggar sekatan yang dianggap “sah di sisi undang-undang.”
Namun penafian itu gagal meredakan gelombang kecaman yang semakin meluas di Eropah, Amerika Latin dan Asia.
Sejak 2007, Israel mengenakan sekatan laut ke atas Gaza, yang kini musnah teruk akibat peperangan.
Tindakan terbaharu itu mengingatkan dunia kepada tragedi 2010 apabila sembilan aktivis terbunuh selepas tentera Israel menyerbu konvoi serupa. - REUTERS.