fb fb fb fb fb

Di mana Suu Kyi, apa status hukuman?

(Suu Kyi menyaksikan pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas kesihatan
pada 27 Januari 2021/Fail AFP)

YANGON, 27 April- Langkah pertama sebaik rampasan kuasa oleh tentera Myanmar tahun lepas adalah menahan tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi, individu yang menghabiskan masa beberapa dekad menentang pemerintahan tentera.

Sejak itu, pemenang Hadiah Nobel berumur 76 tahun itu ‘dikurang’ daripada penglihatan orang awam dan pada masa sama junta berusaha mengurangkan pengaruhnya.

DI MANA SUU KYI?

Lokasi sebenar tidak diketahui. Pihak junta telah mengenakan hukuman tahanan rumah di lokasi yang tidak didedahkan di ibu negara Naypyidaw.

Suu Kyi hanya meninggalkan kawasan itu untuk perbicaraan di mahkamah khas tanpa kehadiran wartawan.

Gambar perbicaraan hanya pernah muncul sekali di media tempatan pada tahun lepas. Suu Kyi ketika itu duduk di belakang penghadang mahkamah bersama defendan dan bekas presiden yang digulingkan, Win Myint.

APA SITUASI SEMASA SUU KYI?

Setakat ini, pihak junta berjaya “menutup mulut” tentang kehidupan Suu Kyi. Dikatakan Suu Kyi tinggal bersama kira-kira 10 kakitangan domestik (individu yang diambil bekerja secara sah) dan dia dibenarkan membaca serta menonton berita, namun hanya dari media yang menyokong kerajaan.

Pihak junta telah menolak permintaan diplomat asing untuk bertemu Suu Kyi ketika perbicaraan kes masih berlangsung.

Pengasingan semasa Suu Kyi jauh berbeza ketika dia menjalani tahanan rumah semasa pemerintahan junta sebelum ini. Suu Kyi boleh tinggal di rumah besar tepi tasik di Yangon dan kerap memberi ucapan kepada orang ramai dari sisi pagar kediamannya.

STATUS KESIHATAN?

Wanita berusia 76 tahun itu sudah beberapa kali tidak hadir perbicaraan, membawa kepada kebimbangan terhadap tahap kesihatannya tatakala berdepan pelbagai ujian semasa.

Dia gagal hadir perbicaraan pada September lalu kerana sakit dan pada Oktober, peguam menyatakan kesihatan Suu Kyi terjejas disebabkan kerap hadir di mahkamah kendalian junta.

Tahun lepas ketika kes COVID-19 memuncak di seluruh Myanmar, junta mengumumkan Suu Kyi telah menerima vaksin lengkap tanpa menyatakan jenis vaksin diterima.

Pada Mac lalu, wanita itu dikuarantin untuk tempoh singkat selepas kes COVID-19 dikesan dalam kalangan kakitangannya, menyebabkan dia gagal hadir perbicaraan.

STATUS KES?

Suu Kyi menghadapi banyak tuduhan rasuah juga dibicarakan atas kesalahan melanggar akta rahsia rasmi Myanmar dan penipuan pilihan raya 2020 yang menyaksikan parti pimpinan Suu Kyi menang besar.

Suu Kyi telah disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman kerana mengimport dan memiliki walkie talkie secara haram, menghasut tentera dan melanggar sekatan COVID-19.

Junta menyatakan atas kesalahan itu, Suu Kyi akan menjalani hukuman penjara tahanan rumah sehingga semua perbicaraan selesai.


(FOTO AFP)

SUU KYI MASIH POPULAR?

Meskipun imejnya tercalar di negara barat kerana tindakannya menguruskan krisis Rohingya, Suu Kyi kekal popular di Myanmar.

Jun tahun lalu, penyokongnya di seluruh negara meletakkan bunga di kepala – imej lama Suu Kyi bagi memperingati ulang tahun kelahiran Suu Kyi ke-76.

Pihak Junta telah berusaha menentang perkembangan parti Liga Kebangsaan Suu Kyi yang mengalahkan parti disokong tentera pada pilihan raya 2020 -- menyaksikan beberapa ahli parti dipenjarakan atau disembunyikan.

Suruhanjaya pilihan raya ketika ini masih menyiasat parti Suu Kyi yang didakwa melalukan penipuan pilihan raya dan mengancam untuk menggantung parti itu.

JUNTA AKAN MEMBEBASKAN SUU KYI?

Tuduhan terhadap Suu Kyi – yang dikatakan kumpulan hak asasi manusia dan pengkritik tentera adalah rekaan, boleh menyebabkan Suu Kyi dikenakan hukuman penjara lebih 150 tahun.

Namun kertas pertuduhan yang panjang antara cara "mencipta keanjalan dan kelonggaran" sementara junta memutuskan apa yang perlu dilakukan terhadap Suu Kyi. Hakikatnya tentera berusaha memerangi perjuang demokrasi Suu Kyi, ulas penganalisis, Soe Myint Aung.

Selepas bertahun dikenakan tahanan rumah, tentera telah membebaskan Suu Kyi pada 2010, dibuat beberapa hari selepas pilihan raya yang diboikot parti Suu Kyi, sehingga membawa kepada penguasaan kerajaan awam pimpinan Suu Kyi.

“Justeru, tidak mungkin Suu Kyi akan dibebaskan sebelum pilihan raya yang pihak junta tetapkan menjelang Ogos 2023, melainkan Suu Kyi akan bertindak sebagai ‘penawar’ untuk revolusi popular atau jika Suu Kyi patuh pelan hala tuju yang dicadangkan pihak tentera,” tambah penganalisis itu. –AFP

Media Baharu