SEVILLE, 30 Jun- Ratusan aktivis berarak dalam cuaca panas terik di Seville, selatan Sepanyol pada Ahad menuntut pembatalan hutang, keadilan iklim dan pelaksanaan cukai terhadap golongan kaya.
Protes itu dilaksana menjelang sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembiayaan pembangunan yang dijadual bermula Isnin.
Sidang empat hari itu, yang hanya diadakan sekali setiap dekad bertujuan menangani kemiskinan, penyakit dan perubahan iklim melalui rangka kerja pembangunan global.
Namun, keputusan Amerika Syarikat (AS) menarik diri dan sikap acuh tak acuh negara-negara maju terhadap bantuan asing menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan persidangan tersebut.
Antara sorotan tunjuk perasaan itu ialah anggota Greenpeace yang membawa replika Elon Musk dalam bentuk bayi memegang gergaji rantai dan duduk di atas glob bumi.
Terdapat juga sepanduk bertulis "Make Human Rights Great Again", "Tax justice now" dan "Make polluters pay".
Beauty Narteh daripada Gabungan Antirasuah Ghana berkata kumpulannya menuntut sistem percukaian yang lebih adil dan bermaruah.
Sementara itu, Ndiaye Bousso dari Africa Development Interchange Network menyeru sektor awam dan swasta agar mengurangkan sikap mementingkan diri dan tunjuk lebih solidariti dengan negara-negara membangun.
Beberapa jam sebelum itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyatakan bahawa hakikat persidangan itu berlangsung ketika dunia bergolak merupakan satu sebab untuk kita terus berharap.- REUTERS