MEXICO CITY, 30 Jun- Seramai 32 individu diberkas pihak berkuasa Mexico pada Ahad dipercayai terlibat dalam satu sindiket jenayah terancang berkaitan kegiatan mencuri bahan api di kawasan tengah negara itu.
Operasi bersepadu itu dijalankan di tiga negeri utama, Negeri Mexico yang mengelilingi ibu negara, serta Hidalgo dan Querétaro yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai antara kawasan paling terjejas oleh jenayah berkenaan.
Setiausaha Keselamatan dan Perlindungan Warga, Omar Garcia Harfuch berkata sebahagian daripada mereka yang ditahan juga dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen serta mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan operasi haram mereka.
"Modus operandi mereka adalah dengan menggerudi saluran paip untuk mengekstrak gas petroleum cecair (LPG) dan petrol.
Kemudian, bahan api itu disimpan di gudang dan stesen minyak dan mereka mempunyai rangkaian pengedaran haram bagi membekalkan bahan api tersebut ke stesen-stesen berkenaan," kata Omar dalam sidang media.
Hampir 50 kenderaan termasuk lori tangki, kontena simpanan, senjata api, peluru, dadah dan pelbagai barangan lain berkaitan aktiviti jenayah berkenaan turut dirampas.- REUTERS