fb fb fb fb fb

DBKL ambil tindakan segera susulan dinding unit kediaman tercabut akibat hujan dan ribut

KUALA LUMPUR, 20 Mei - Langkah proaktif telah diambil bagi melindungi keselamatan penyewa Perumahan Awam Loke Yew, di sini, selepas satu dinding kayu salah sebuah unit rumah di kediaman flat itu tercabut akibat hujan dan ribut petang semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah menutup dan memagar kawasan dinding yang tercabut itu menggunakan ‘hazard tape’ bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di unit kediaman itu.

"Dinding sementara telah dipasang di unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat," jelasnya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Tindakan sama juga telah diambil terhadap empat unit rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor, di sini, selepas bumbung blok berkenaan tercabut akibat insiden hujan dan ribut itu.


(Dinding sementara telah dipasang di unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal

dilaksanakan dalam tempoh terdekat)

"Kerja-kerja pemasangan kanvas sementara telah dilakukan di bumbung unit terlibat sebelum kerja-kerja baik pulih bumbung kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat," menurut kenyataan tersebut.

Bekalan elektrik di unit terlibat juga telah diputuskan bagi tujuan keselamatan manakala penghuni yang terlibat telah berpindah ke rumah saudara mara di kawasan berhampiran.

DBKL turut memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara dibuka buat masa ini.

Media Baharu