fb fb fb fb fb

Data penerbangan menunjukkan nahas pesawat China Eastern mungkin disengajakan

(Foto diambil pada 27 Mac 2022 menunjukkan penyelamat berdiri bertafakur memberi penghormatan
untuk mangsa di lokasi nahas pesawat China Eastern Airlines di daerah Tengxian, bandar Wuzhou, di wilayah Guangxi selatan China/FOTO FAIL AFP)

WASHINGTON, 18 Mei- Nahas pesawat China Eastern yang mengorbankan 132 penumpang dan kru pada Mac lalu dipercayai sengaja dilakukan.

Penyiasat Amerika Syarikat (AS) percaya seseorang di dalam kokpit pesawat itu dengan sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas, lapor Wall Street Journal pada Selasa.

Penerbangan China Eastern MU5375 yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou pada 21 Mac secara tiba-tiba menjunam dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng gunung, mengorbankan kesemua 132 orang di dalamnya.

Data menunjukkan bahawa seseorang - mungkin juruterbang atau sesiapa yang menceroboh masuk ke dalam kokpit - telah memasukkan input yang dipercayai menyebabkan pesawat Boeing 737-800 itu menjunam.

"Pesawat itu melakukan apa yang diarahkan oleh seseorang di dalam kokpit," lapor Wall Street Journal yang memetik penilaian awal oleh pegawai penyiasat AS.

Pegawai penyiasat AS percaya kesimpulan mereka disokong oleh fakta bahawa penyiasat China setakat ini tidak menunjukkan sebarang masalah dengan pesawat atau kawalan penerbangan yang boleh menyebabkan nahas.

((Pasukan penyelamat di tapak di mana pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines yang terbang dari Kunming ke Guangzhou terhempas,
di Wuzhou, 24 Mac 2022/ FOTO FAILREUTERS)


Kedua-dua Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS dan Boeing enggan mengulas mengenai laporan siasatan itu.
Menurut laporan daripada Boeing, pasukan penyiasat tidak menemui bukti berlaku "insiden yang tidak normal," kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada April.

Dalam satu kenyataan, CAAC berkata kru penerbangan telah memenuhi keperluan keselamatan sebelum berlepas.

Tambahnya, pesawat itu juga tidak membawa barangan berbahaya manakala cuaca adalah baik pada hari kejadian.

Tragedi itu disifatkan sebagai bencana udara paling dahsyat di China dalam beberapa dekad. -AFP

Media Baharu