fb fb fb fb fb

Dakwaan jenayah perang, ketua polis kehakiman Libya ditangkap di Turin

Osama Najim, juga dikenali sebagai Almasri, ditangkap pada Ahad di Turin

ROME, 21 Januari- Polis di Itali telah menangkap ketua polis kehakiman Libya yang sebelum ini merupakan pengarah pusat tahanan Mitiga di Tripoli, menurut laporan berita Itali pada Isnin.

Osama Najim, juga dikenali sebagai Almasri, ditangkap pada Ahad di Turin berdasarkan waran tangkap dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Seorang wartawan untuk akhbar Avvenire yang melaporkan berita tersebut, Nello Scavo, menulis di media sosial: "Kami boleh mengesahkan daripada sumber yang berkenaan bahawa atas mandat Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk jenayah perang, ketua polis kehakiman Libya telah ditangkap di Turin."

Kumpulan penyelamat migran Mediterranea Saving Humans berkata penangkapan Almasri tiba selepas bertahun-tahun aduan dan keterangan daripada mangsa.

"Almasri adalah bukti bagaimana keseluruhan sistem Libya, yang disokong dalam beberapa tahun terakhir oleh jutaan euro daripada kerajaan Itali dan Kesatuan Eropah, adalah sangat kejam," tulisnya di X.

Akhbar La Repubblica melaporkan bahawa Almasri ditangkap di sebuah hotel selepas mendapat petunjuk daripada Interpol.

Akhbar tersebut memetik seorang pendakwa raya Turin yang berkata lelaki yang ditangkap itu berada di Turin bersama beberapa warga Libya lain.

Kes tersebut akan dihantar untuk semakan di Mahkamah Rayuan di Rom.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa telah lama mengutuk penyalahgunaan kuasa di pusat tahanan Libya, dengan menyebutkan keganasan dan penyeksaan yang meluas.

Perjanjian kontroversial Rom dengan Libya yang bermula pada 2017 dan diperbaharui bawah kerajaan kanan keras Perdana Menteri Giorgia Meloni melibatkan pemberian dana dan latihan kepada pengawal pantai Libya.

Sebagai balasan, Libya dijangka membantu menghalang penghijrahan migran ke Itali, atau mengembalikan mereka yang sudah berada di laut ke Libya, di mana mereka sering dibawa ke pusat tahanan seperti itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE