fb fb fb fb fb

WHO : Trump tandatangani perintah eksekutif tarik diri

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) / Foto REUTERS

WASHINGTON, 21 Januari-Presiden Donald Trump pada Isnin menandatangani perintah eksekutif untuk mengarahkan Amerika Syarikat menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebuah organisasi yang kerap dikritiknya kerana kelemahan dalam pengendalian pandemik COVID-19.

Bercakap di White House beberapa jam selepas majlis angkat sumpahnya, Trump berkata Amerika Syarikat membayar jauh lebih banyak kepada badan PBB itu berbanding China, sambil menambah WHO menipu negara itu.

Dalam perintah eksekutif baharunya, Trump mengarahkan agensi-agensi kerajaan untuk menghentikan pemindahan dana, sokongan, atau sumber kerajaan Amerika Syarikat ke WHO pada masa hadapan dan mengenal pasti rakan kongsi yang boleh dipercayai dan telus di Amerika Syarikat dan antarabangsa untuk mengambil alih aktiviti-aktiviti penting yang sebelum ini dilakukan oleh WHO.

Pentadbiran Trump juga mengumumkan rancangan untuk mengkaji semula dan membatalkan Strategi Keselamatan Kesihatan Global AS 2024 yang diperkenalkan oleh Biden, yang direka untuk mencegah, mengesan, dan bertindak balas terhadap ancaman penyakit berjangkit, secepat mungkin.

Penarikan diri AS dijangka mencetuskan penstrukturan semula secara besar-besaran dalam institusi tersebut dan berpotensi mengganggu gugat inisiatif kesihatan global.

Amerika Syarikat, merupakan penyumbang terbesar kepada WHO yang berpangkalan di Geneva itu, dengan menyediakan sokongan kewangan yang penting untuk operasi organisasi berkenaan.

Ini merupakan kali kedua Trump berusaha untuk memutuskan hubungan dengan WHO.

Terdahulu, semasa penggal pertamanya, Amerika Syarikat mengeluarkan notis niat untuk menarik diri, menuduh organisasi itu terlalu dipengaruhi oleh China semasa peringkat awal pandemik COVID-19.

Langkah tersebut kemudiannya dibatalkan di bawah pentadbiran bekas presiden Joe Biden.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD