fb fb fb fb fb

Dakwaan China aniaya minoriti Islam: PBB lawat Xinjiang

(Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet menghadiri satu acara rasmi
di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, 3 November 2021
/FOTO FAIL REUTERS)

BEIJING, 24 Mei- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap sedia untuk melakukan lawatan ke wilayah Xinjiang selepas dakwaan China menganiaya minoriti Islam di sana.

Lawatan itu dilakukan Ketua Hak Asasi Manusianya, Michelle Bachelet, selepas tindakan beberapa kumpulan hak asasi manusia memberi tekanan kepada PBB supaya mengeluarkan laporan yang sudah lama tertangguh mengenai situasi di Xinjiang.

Beliau dijangka melawat dua bandar di Xinjiang iaitu Urumqi dan Kashgar hari ini dan esok.

Sebelum ini, Beijing mendakwa tindakan keras dilaksanakan secara berpanjangan di wilayah Barat berkenaan menghapuskan keganasan dan menyelaraskan semula ekonomi di salah satu wilayah termiskinnya itu.

Namun, pejuang hak asasi menuduh parti komunis yang memerintah itu melakukan kekejaman yang meluas.

Selain itu, Amerika Syarikat (AS) dan pemimpin di negara Barat lain turut menuduh China melakukan 'pembunuhan beramai-ramai' terhadap Uyghur dan kumpulan minoriti Islam lain di Xinjiang.

Beijing bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menggelarkannya sebagai 'pembohongan abad ini'.

Sementara itu, menurut sekumpulan penyelidik, pihak berkuasa China sudah menahan lebih sejuta Uyghur dan kumpulan minoriti Islam yang lain di pusat tahanan dan penjara melalui rangkaian rahsianya di Xinjiang.

Namun Beijing mendakwa infrastruktur itu adalah sekolah latihan vokasional yang dihadiri secara sukarela.

(Wanita Uyghur berkumpul di luar konsulat China di Istanbul untuk mengecam
dakwaan pencabulan hak Uyghur di Xinjiang/ FOTO AFP)


Bekas tahanan bagaimanapun mendakwa berlakunya insiden rogol, penyeksaan dan pengajaran politik di dalam kemudahan itu.

Menurut dokumen kerajaan yang disemak AFP pada 2018, terdapat pengawal yang dilengkapi dengan gas pemedih mata, dan senapang mengawal di pusat yang dikelilingi dengan wayar berduri dan kamera inframerah.

Laporan AFP mengenai pangkalan data polis yang diragui bulan ini memperincikan pertuduhan ke atas 10,000 orang Uyghur yang dipenjarakan di barat daya Xinjiang, di mana ramai menjalani hukuman selama bertahun-tahun atas kesalahan keganasan yang jelas. -AFP

 

Berita berkaitan

China berharap lawatan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, perjelas situasi sebenar



Media Baharu