fb fb fb fb fb

Letupan gas: Dua maut, 120 cedera

(Empat daripada bangunan yang dikosongkan dalam letupan gas di sebuah restoran/FOTO TWEETER POLIS ABU DHABI)


ABU DHABI, 24 Mei- Polis mengesahkan dua mangsa terkorban, manakala 120 lagi cedera dalam letupan silinder gas di sebuah restoran di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Menurut laporan awal polis di Twitter, daripada 120 yang cedera, 64 mangsa mengalami kecederaan ringan, 56 kecederaan biasa, manakala dua lagi meninggal dunia.

Polis berkata, letupan turut menyebabkan kebakaran dan merosakkan bahagian permukaan enam bangunan serta beberapa stor sebelum api dapat dikawal.

"Mangsa dari empat bangunan yang rosak selamat dipindahkan, dengan usaha sedang dijalankan untuk mencari kediaman sementara bagi penduduk," katanya.

Sementara itu, beberapa keping gambar diedarkan polis Abu Dhabi menunjukkan pasukan keselamatan merawat mangsa, selain terdapat serpihan serta kaca yang pecah bertaburan di atas jalan.

Seorang saksi pula memberitahu akhbar nasional bahawa dirinya mendengar letupan ketika waktu tengah hari.

(Polis mengesahkan laporan awal mendapati 64 orang mengalami kecederaan ringan,
56 lagi mengalami secera yang memerlukan rawatan di hospital manakala dua maut/ FOTO AFP)


"Letupan pertama lebih perlahan bunyinya dan orang ramai mula menghubungi polis serta bomba.

"Kemudian ia disusuli dengan letupan lebih kuat sehingga menggegarkan tingkap dan beberapa pejabat, malah kaca juga bertaburan," katanya yang enggan dikenali.

Pihak berkuasa bagaimanapun masih menyiasat punca kejadian termasuk kemungkinan perbuatan khianat.

UAE berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak serangan dron dan peluru berpandu oleh pemberontak Yaman yang membunuh tiga pekerja minyak di Abu Dhabi pada 17 Januari lalu.

Sejak itu, pihak berkuasa berjaya menggagalkan tiga serangan serupa, termasuk satu yang didakwa oleh kumpulan militan dipercayai mempunyai hubungan dengan puak bersenjata pro-Iran di Iraq. - AFP

Media Baharu