fb fb fb fb fb

Daesh mengaku melakukan serangan di Israel, dua anggota polis terbunuh

(Lokasi kejadian di bandar Hadera pada 27 Mac 2022.  Polis mengesahkan dua mati, 6 cedera - 4 dibawa ke hospital
dan 2 lagi dirawat di lokasi kejadian/AFP)

LUBNAN, 28 Mac- Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan di utara Israel yang membunuh dua pegawai polis.

“Dua anggota polis negara Yahudi terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan melibatkan anggota komando, menurut kenyataan kumpulan militan Daesh, tindakan yang jarang berlaku dalam serangan seumpamanya di Israel.

Daesh mendakwa, dua anggotanya telah melepaskan tembakan pada Ahad di Herbert Samuel Street di bandar Hadera, utara Israel. Kumpulan itu mendakwa 10 lagi cedera dalam pertempuran susulan.

Menurut kumpulan perisikan SITE, ini adalah pertama kali sejak 2017, Daesh secara rasmi mengaku melakukan serangan di Israel.

Serangan berdarah itu berlaku tatkala empat Menteri Luar negara Arab dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat mengadakan pertemuan dalam satu mesyuarat serantau, perkara yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Dudu Boani, Timbalan Komando polis di wilayah itu berkata pelaku berjaya ditembak mati.


(FOTO AFP)

Kumpulan Daesh yang pernah menguasai banyak kawasan di Syria dan Iraq -- diisytiharkan tewas pada 23 Mac 2019.

Namun, serpihan kumpulan itu terus melalukan serangan di negara sasaran mereka, kebanyakannya sekutu Amerika Syarikat.

Awal bulan ini, Daesh mengesahkan kematian pemimpin mereka, Abu Ibrahim al-Qurashi dan menamakan Abu Hasan al-Hashemi al-Qurashi sebagai pengganti.

Pengumuman itu dibuat selepas sebulan ketua Daesh meninggal dunia dalam serbuan pasukan khas komando Amerika Syarikat di barat laut Syria.

Media antarabangsa melaporkan, operasi kumpulan komando di barat laut Syria itu pada awalnya tidak menyasarkan kumpulan Daesh, sebaliknya terhadap ahli kumpulan Al-Qaeda. -AFP

Media Baharu