(Foto BERNAMA)
SEREMBAN, 2 Mei- Paras air di semua empangan Negeri Sembilan dalam keadaan baik iaitu melebihi 90 peratus meskipun daerah Jempol merekodkan cuaca panas di tahap berjaga–jaga.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Negeri Sembilan mengalami cuaca panas dengan suhu mencecah 35 darjah Celsius.
Namun, negeri itu masih menerima hujan pada sebelah petang hampir setiap hari.
"Bekalan air mencukupi buat masa ini, cuma di Jempol suhu agak tinggi. Saya menasihatkan penduduk Jempol agar sentiasa menjaga kesihatan dan tidak terlalu lama berada di bawah panas matahari," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, katanya sektor pertanian dan penternakan juga dalam keadaan baik susulan tiada sebarang laporan diterima daripada para petani dan penternak setakat ini.
Tambahnya, sekolah di negeri itu juga bakal ditutup jika cuaca melebihi 37 darjah Celsius seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
(Foto BERNAMA)