fb fb fb fb fb

CNN Filipina 'tutup kedai' kerana desakan kewangan

FOTO HIASAN

MANILA, 29 Januari- CNN Filipina akan menghentikan operasi mulai Rabu ini berikutan tekanan kewangan.

Penyiar itu mula beroperasi di Filipina pada 2015 sebagai francais CNN, menyampaikan terutamanya berita berbahasa Inggeris di televisyen percuma, kabel dan berbayar.

Kakitangannya diberitahu mengenai keputusan untuk menutup operasi berita dan pengeluaran di semua platform, hari ini.

"Keputusan itu berikutan kerugian kewangan yang ketara yang dialami sejak beberapa tahun lalu, walaupun usaha gigih untuk menyesuaikan diri dan berinovasi dalam landskap media yang berkembang pesat dan mencabar," kata pemilik CNN Philippines, Nine Media Corporation.

"Kami menyedari kesan penutupan ini terhadap pekerja dan bakat kami yang dihargai, kami memberi jaminan semua kakitangan yang terjejas akan diberikan pampasan".

Penutupan itu akan menjejaskan kira-kira 300 pekerja, kata seorang kakitangan kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina berkata penutupan itu bermakna kurang satu sumber maklumat yang boleh dipercayai untuk orang ramai ketika maklumat salah kini sedang berleluasa.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE