MANILA, 29 Januari- Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. adakan perbincangan mengenai kerjasama maritim antara negara itu dan Vietnam. Ia akan menjadi salah satu asas dalam perkongsian strategik di Asia Tenggara.
"Kami berharap dapat mengukuhkan aspek ini semasa lawatan saya untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau kami," kata Marcos dalam satu kenyataan sebelum berlepas ke Hanoi untuk lawatan kerja selama dua hari.
Marcos dijangka bertemu dengan pegawai tertinggi Vietnam dan mengusahakan perjanjian kerjasama pengawal pantai dan bekalan beras.
Vietnam adalah pengeksport utama beras dan Filipina adalah salah satu negara pengimport terbesar di dunia bagi bijirin.
Marcos berkata beliau berharap lawatannya akan membawa hubungan mereka ke tahap lebih tinggi dan "membuka era baharu persahabatan dan kerjasama", dengan perbincangan mengenai perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan, serta "isu serantau serta pelbagai hala yang membimbangkan."
Vietnam dan Filipina mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan, tetapi secara umumnya mempunyai hubungan mesra berbanding ketegangan memuncak antara Manila dan Beijing mengenai pertikaian perairan.
Laut China Selatan, saluran untuk lebih daripada $3 trilion dalam perdagangan kapal tahunan. Keseluruhannya dituntut oleh China melalui garisan berbentuk U yang dikawal oleh armada pengawal pantai. Tindakan itu memotong zon ekonomi eksklusif Vietnam, Filipina , Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague berkata, tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang namun Beijing menolak keputusan itu.- REUTERS