LOS ANGELES, 12 Disember - Permainan video indie dari Perancis, Clair Obscur: Expedition 33, mencuri perhatian di The Game Awards selepas sahaja dinobatkan sebagai Permainan Terbaik, tetapi turut meraih beberapa anugerah utama lain, termasuk Pengarahan Terbaik, Penceritaan Terbaik, Tata Seni Terbaik, Muzik Terbaik, Persembahan Terbaik, Permainan Indie Terbaik, Debut Permainan Indie Terbaik dan RPG Terbaik.
Sejak dilancarkan pada bulan April lalu, Clair Obscur: Expedition 33 telah mendapat sambutan hangat daripada pemain seluruh dunia, dengan berjuta-juta salinan terjual beserta ulasan positif.
Permainan tersebut adalah hasil karya Guillaume Broche, yang meninggalkan syarikat permainan gergasi Ubisoft pada tahun 2020 untuk menubuhkan Sandfall Interactive. Bersama pasukan kecil, Broche telah berjaya merealisasikan impian mereka melalui permainan berkenaan.
Menurut Broche, pasukannya masih belum dapat menerima kejayaan yang luar biasa itu, namun mereka berbangga kerana hasil kerja keras mereka diterima dengan baik oleh para pemain. "Orang ramai memberi reaksi yang sangat kuat terhadap semangat yang kami curahkan dalam permainan ini," katanya kepada Reuters.
Bertempat di dalam sebuah realiti alternatif, Clair Obscur: Expedition 33 mengisahkan tentang Expedition 33, satu pasukan khas yang dihantar setiap tahun untuk membunuh The Paintress, yang memiliki kuasa untuk melukis atau "gommage" penduduk tempatan keluar dari kewujudan apabila mereka mencapai usia tertentu. Namun, apabila pasukan ini tiba di tanah The Paintress, mereka dibunuh hampir sepenuhnya, meninggalkan hanya empat orang yang terselamat. Semasa permainan berlangsung, rahsia-rahsia mula terbongkar, dan ada kalangan yang selamat mempunyai hubungan lebih mendalam dengan dunia serta The Paintress.
Permainan tersebut mengangkat tema berkaitan kesedihan dan berakar kuat dalam budaya Perancis, dengan gaya seni Belle Époque disertakan dengan bahasa, muzik, dan elemen budaya Perancis seperti beret, baju Breton dan baguette.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut memberi pujian sambil menganggapnya sebagai satu contoh keberanian dan kreativiti. "Kami banyak meminjam elemen budaya Perancis, tetapi dilakukan dalam semangat perkongsian yang ceria. Kami melakukannya dengan humor dan sentuhan ringan. Bagi orang Perancis, ini adalah sesuatu yang membanggakan," kata Broche.-REUTERS