WASHINGTON, 16 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata China perlu mengambil langkah pertama dalam rundingan perdagangan, selepas menuduh Beijing mungkir terhadap perjanjian dengan syarikat penerbangan Boeing.
“Keputusan kini berada di tangan China. Mereka perlu membuat perjanjian dengan kita, bukan sebaliknya,” kata Trump dalam kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt.
"Tiada perbezaan antara China dan negara lain, kecuali saiz mereka yang jauh lebih besar," tambahnya.
Trump mendakwa China enggan menerima penghantaran pesawat yang telah dipersetujui sebelum ini, berdasarkan laporan Bloomberg yang menyebut arahan Kerajaan China kepada syarikat penerbangan domestik supaya menghentikan pengambilan pesawat Boeing serta pembelian alat ganti dari Amerika Syarikat.
"Mereka baru sahaja mungkir terhadap perjanjian besar dengan Boeing, dengan mengatakan bahawa mereka tidak akan mengambil pesawat yang telah mereka janji sepenuhnya," kata Trump dalam satu hantaran di Truth Social, merujuk kepada China.
Presiden AS itu telah melaksanakan tarif baharu ke atas pelbagai negara sejak kembali ke White House termasuk tarif baharu 145 peratus terhadap barangan import dari China.
Langkah tersebut turut menjejaskan hubungan dengan sekutu utama seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen menyifatkan hubungan EU-AS kini “rumit” selepas AS mengenakan tarif 10 peratus terhadap blok itu.- AFP