BEIJING, 8 Jun - China telah meluluskan beberapa permohonan lesen eksport bagi barangan berkaitan unsur nadir bumi sebagai langkah menangani peningkatan permintaan global terhadap unsur nadir bumi kategori sederhana dan berat.
Peningkatan permintaan itu didorong oleh kemajuan pesat dalam industri robotik dan kenderaan tenaga baharu yang memerlukan bahan tersebut sebagai komponen utama dalam pengeluaran.
“Barangan berkaitan unsur nadir bumi mempunyai ciri dwiguna yang boleh dimanfaatkan dalam sektor ketenteraan dan awam. Justeru, kawalan eksport ke atas barangan itu adalah sejajar dengan norma antarabangsa,” lapor jurucakap Kementerian Perdagangan menerusi kenyataan.
Tambah jurucakap itu, pelaksanaan kawalan tersebut bertujuan melindungi keselamatan dan kepentingan negara selain memenuhi komitmen China terhadap kewajipan antarabangsa dalam mencegah penyebaran senjata.
“Kawalan ini juga mencerminkan pendirian konsisten China dalam menyokong keamanan sejagat dan kestabilan serantau,” ujarnya.
Dalam pada itu, China akan terus memperketat proses semakan terhadap permohonan eksport yang mematuhi peraturan serta bersedia mempertingkat komunikasi dan dialog bersama negara-negara berkaitan berhubung kawalan eksport demi menjamin perdagangan yang mematuhi undang-undang.-REUTERS