GAZA, 8 Jun – Jumlah korban rakyat Palestin di Gaza meningkat kepada 54,772 orang, manakala 125,834 lagi cedera sejak tercetusnya konflik antara Israel dan Hamas pada Oktober 2023, menurut kenyataan daripada pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Terbaharu, sekurang-kurangnya 34 rakyat Palestin terkorban dalam serangan terbaharu Israel di beberapa kawasan di Gaza pada Sabtu.
Sejak Israel memperhebatkan semula kempen ketenteraan pada Mac tahun lalu, sebanyak 4,497 rakyat Palestin terbunuh dan 13,793 cedera, tambah pihak berkuasa tersebut.
Beberapa sumber, termasuk Al Jazeera melaporkan tentera Israel telah menyerang sebuah pusat agihan bantuan kemanusiaan di Rafah, selatan Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terbunuh.
Bagaimanapun, tentera Israel masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan tersebut.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza turut memaklumkan bahawa penghantaran bekalan bahan api ke kawasan Gaza kini berdepan halangan besar, menyebabkan hospital-hospital bergelut untuk terus beroperasi. Simpanan bahan api dianggarkan hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga hari.
Khamis lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Gaza berada di ambang keruntuhan.
Menurut WHO, tiada hospital yang masih beroperasi di utara Gaza dan pertubuhan itu menyeru agar Kompleks Perubatan Nasser serta Hospital Al-Amal di Khan Younis diberi perlindungan segera.-REUTERS