fb fb fb fb fb

UK, India bincang kerjasama ‘antikeganasan’ susulan gencatan senjata dengan Pakistan

Menteri Luar Britain, David Lammy / Foto Reuters

NEW DELHI, 8 Jun – Britain dan India telah mengadakan perbincangan untuk memperluas kerjasama dalam usaha memerangi keganasan susulan pertempuran terbaharu antara India dan Pakistan, kata Menteri Luar Britain, David Lammy selepas bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi, pada Sabtu.

Dalam pertemuannya bersama Modi dan Menteri Luar S. Jaishankar, Lammy menyatakan keprihatinan terhadap ancaman keganasan dan menyuarakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama antikeganasan.

“Kami mahu keadaan yang aman dikekalkan, namun kami juga mengiktiraf kerapuhannya, khususnya dalam konteks ancaman keganasan yang bertujuan menjejaskan kestabilan India.

“Kami berhasrat untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan India kami dalam langkah-langkah antikeganasan,” kata Lammy dalam satu temu bual di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Britain di New Delhi.

Lawatan Lammy menjadikannya pegawai Barat tertinggi melawat New Delhi dan Islamabad sejak gencatan senjata dicapai bulan lalu selepas konflik terburuk antara kedua-dua negara dalam hampir 30 tahun.

Selain isu keselamatan, Lammy turut menyentuh usaha memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara UK dan India serta menyatakan Perdana Menteri Keir Starmer akan melawat India tidak lama lagi.

“Saya tahu Perdana Menteri Keir Starmer amat menantikan lawatan ke India dalam masa terdekat untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara.

“Terdapat begitu banyak ruang untuk kita terus bekerjasama,” kata Lammy.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN