PARIS, 8 Jun- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, pada Sabtu menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya menubuhkan satu kumpulan negara yang diberi mandat untuk mencari penyelesaian kepada konflik Rusia-Ukraine.
Inisiatif itu diumumkan oleh Lula dalam satu sidang media semasa lawatannya ke Perancis, memetik kenyataan Presiden Emmanuel Macron yang menyifatkan peranan Brazil amat penting dalam menoktahkan konflik berkenaan.
"PBB boleh kembali menjadi perantara utama dalam isu ini," kata Lula.
Lula mencadangkan penubuhan "kumpulan sahabat" kepada Presiden Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Vladimir Putin dan kemudiannya berbincang serta mendengar pandangan kedua-dua pihak sebelum mencari satu alternatif penyelesaian.
"Apa yang saya cadangkan ialah penubuhan sebuah suruhanjaya yang terdiri daripada negara-negara yang tidak terlibat secara langsung dalam perang ini, untuk berbincang dengan Zelenskyy dan Putin," ujar Lula.
Tambah beliau, tiada pihak yang akan mendapat semua yang mereka inginkan, tetapi mereka boleh mencapai beberapa syarat secara realistik.
"Bukan 100 peratus pendirian Zelenskyy, dan bukan juga 100 peratus pendirian Putin," katanya.
Berbeza dengan kebanyakan negara Eropah, Lula mengekalkan hubungan mesra dengan Moscow dan mengambil pendirian berkecuali terhadap konflik di Ukraine.
2 Jun lalu, pusingan kedua rundingan damai secara langsung antara Rusia dan Ukraine telah dimulakan di Istanbul, Turkiye selepas pusingan pertama gagal mencapai persetujuan bagi menghentikan pertempuran yang telah berlarutan lebih tiga tahun.
Sementara itu, menjelang sidang kemuncak kumpulan negara BRICS di Rio de Janeiro pada Julai ini, Lula turut memaklumkan bahawa Putin telah dijemput ke mesyuarat tersebut meskipun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya berhubung dakwaan pemindahan haram kanak-kanak Ukraine ke Rusia.
Sementara itu, Rusia pada Sabtu menuduh Ukraine menangguhkan pertukaran besar-besaran banduan perang, satu dakwaan yang telah dinafikan oleh Kiev.- AFP