(Petugas kesihatan melakukan ujian saringan kepada orang ramai sebelum
memasuki premis pusat beli-belah di daerah Huangpu, Shanghai/FOTO AFP)
SHANGHAI, 27 Oktober - Kerajaan China terus mengambil langkah lebih ketat dalam menangani penularan virus COVID-19 di negara itu yang semakin meluas.
Bandar-bandar di Wuhan hingga ke Xining menggandakan sekatan dengan menutup premis bangunan dan daerah sekali gus mengakibatkan jutaan rakyatnya terjejas.
Lebih 1,000 kes COVID-19 sehari dilaporkan di seluruh negara itu ketika ini.
Jumlah tersebut adalah sederhana berbanding puluhan ribu kes sehari yang menyebabkan Shanghai terpaksa berkurung sepenuhnya awal tahun ini.
Biarpun jumlah kes di negara itu kekal kecil mengikut piawaian global, tetapi langkah pembendungan yang sangat ketat, ditambah pula penularan varian Omicron, membebankan negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
(Petugas kesihatan masih lagi melakukan ujian saringan
COVID-19 kepada orang awam di bandar Jing'an Shanghai/FOTO AFP)
Di Guangzhou pula, lebih banyak jalan dan kawasan kejiranan ditutup dan mengarahkan orang ramai agar tidak meninggalkan rumah.
Ia berikutan, bandar keempat terbesar itu dikenalpasti sebagai kawasan baharu yang berisiko tinggi dalam kebangkitan semula COVID-19.
Manakala di Wuhan, lokasi pertama wabak COVID-19 di dunia pada akhir 2019 hanya melaporkan sekitar 20 hingga 25 jangkitan baharu sehari pada minggu ini.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan mengarahkan lebih 800,000 penduduknya untuk tinggal di rumah sehingga 30 Oktober ini.
China berulang kali berikrar untuk berpegang teguh terhadap kempen Sifar Covid dan melaksanakan apa yang perlu untuk membendung virus berkenaan.