BEIJING, 9 Januari- Lima kes strain mutasi baharu Mpox, Clade 1b dikesan di China.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) memaklumkan, wabak itu membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Republik Demokratik Congo (DRC).
Empat lagi individu merupakan kontak rapat kepada pesakit tersebut.
"Empat orang yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit itu didapati dijangkiti strain tersebut dan menunjukkan simptom ringan seperti ruam dan lepuh", kata CDC dalam satu kenyataan.
"Mereka yang dijangkiti dan berisiko sedang menerima rawatan perubatan dan pemerhatian kesihatan dan wabak ini telah dikendalikan dengan berkesan," tambah kenyataan itu.
Mpox merupakan virus yang menjangkiti manusia melalui haiwan, namun boleh merebak dari seorang individu ke individu lain melalui kontak rapat atau sentuhan fizikal.
Virus ini menyebabkan gejala seperti demam, sakit otot serta ruam pada kulit dan melepuh seperti bisul, dan boleh membawa maut.
Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak di Republik Demokratik Congo dan telah meragut lebih 1,000 nyawa.
Dua hari selepas pengisytiharan WHO itu, China mengumumkan akan menjalankan saringan Mpox ke atas individu yang memasuki negara itu selama enam bulan akan datang.
Menurut WHO, kes Mpox telah dilaporkan di lebih 120 negara sejak 2022.-AFP