fb fb fb fb fb

China gesa perdamaian mengenai krisis Gaza

Wang Yi/REUTERS

BEIJING, 15 Januari- Menteri Luar China Wang Yi berkata perang di Gaza terus memuncak dan China menggesa persidangan keamanan antarabangsa berskala lebih besar dan berkesan untuk melaksanakan penyelesaian dua negara.

Wang berkata demikian kepada pemberita selepas perbincangan dengan Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry di Kaherah. Beliau berkongsi pandangannya mengenai perang Israel-Palestin, menurut satu kenyataan daripada Kementerian Luar China pada Ahad.

Wang juga mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Liga Negara Arab secara berasingan di mana kedua-dua pihak mempunyai pertukaran pandangan mendalam mengenai konflik dalam membantu menyelesaikan krisis.

Diplomat Tertinggi China itu dalam rangka perjalanan melalui Mesir, Tunisia, Togo dan Pantai Gading sehingga Khamis.

Selepas berbincang dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Wang berkata konflik di Gaza "menyebabkan korban besar dalam kalangan orang awam yang tidak bersalah selain membawa kepada bencana kemanusiaan yang serius dan mempercepatkan penyebaran kesan limpahan negatif," menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Wang berkata infrastruktur Gaza telah musnah sepenuhnya, dengan berjuta-juta orang bergelut untuk terus hidup. Beliau berkata China telah memutuskan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kecemasan ketiga.

Wang juga berkata masyarakat antarabangsa harus mendengar dengan teliti kebimbangan sah negara-negara di rantau ini, "dan tadbir urus Gaza pada masa depan harus menjadi langkah penting ke arah penyelesaian dua negara".

Dalam perbincangan berasingan dengan Setiausaha Agung Liga Negara Arab Ahmed Aboul Gheit, kedua-duanya bersetuju mengenai masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan untuk meredakan keadaan dan mencapai gencatan senjata secepat mungkin, menurut media negara China.

"Negara-negara berpengaruh, khususnya, perlu memainkan peranan objektif, saksama dan konstruktif dalam hal ini," kata kedua-duanya menurut kenyataan bersama yang dilaporkan oleh berita Xinhua pada Ahad.

Kedua-duanya menekankan bahawa penyelesaian dua negara kekal sebagai asas "untuk sebarang pengaturan masa depan berkaitan nasib rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur."- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI