fb fb fb fb fb

China gesa ahli G20 bersatu, pacu masa depan global bersama

NEW DELHI, 10 September- China menggesa ahli G20 supaya tegas memajukan globalisasi ekonomi, mempromosikan perpaduan, kerjasama dan keterangkuman.

Perdana Menteri China, Li Qiang pada sesi pertama Sidang Kemuncak G20 turut mencadangkan beberapa inisiatif iaitu Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Tamadun Global dalam usaha mencorak masa depan dunia bersama.

"Semua negara harus menghormati satu sama lain, mencari titik persamaan sambil mengekalkan perbezaan dan hidup bersama secara aman."

"Tiada sesiapa yang boleh kekal kebal dalam menghadapi krisis besar dan cabaran," kata Li dalam ucapannya.

Tambahnya, solidariti dan kerjasama adalah jalan yang betul untuk dunia.

Sesi berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Sidang turut bersetuju untuk bersama-sama menangani cabaran global termasuk perubahan iklim serta tenaga dan keselamatan makanan.

Langkah itu termasuk menjamin pertumbuhan seimbang dan inklusif untuk membina masa depan yang lebih baik.


(FOTO AFP)

Sementara itu, di luar sidang kemuncak G20, para pemimpin global mengumumkan perjanjian rel dan pelabuhan multinasional yang menghubungkan Asia Barat dan Asia Selatan.

Perjanjian itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berusaha untuk menentang inisiatif Jalur dan Laluan China dengan meletakkan Washington sebagai rakan kongsi alternatif dan pelabur untuk negara membangun dalam kumpulan G20.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata perjanjian itu akan menampilkan rangkaian kereta api untuk menambah baik pengangkutan antara Asia dan Eropah.

"Koridor itu menghubungkan negara Asia Barat menerusi rel dan seterusnya menghubungkan India melalui pelabuhan," kata Ursula kepada media.- AFP

Media Baharu