HONG KONG, 11 September- Penggubal dasar China minggu ini akan menilai pelan untuk melanjutkan umur persaraan negara itu, antara yang paling rendah di dunia, sebagai satu langkah penting untuk menangani populasi pekerja yang semakin berkurangan.
Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan perkara tersebut akan dibincangkan oleh ahli Kongres Rakyat Kebangsaan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap China ke-11 di Beijing.
Pada Julai, China menaikkan umur persaraannya secara berperingkat untuk membolehkan orang ramai bekerja lebih lama, mengurangkan tekanan ke atas belanjawan pencen dengan banyak wilayah sudah bergelut akibat defisit yang besar.
Umur persaraan kini adalah 60 tahun untuk lelaki, kira-kira enam tahun lebih rendah daripada di kebanyakan ekonomi maju, manakala bagi wanita yang bekerja sektor kolar putih adalah 55 dan 50 untuk wanita yang bekerja di kilang.
Pembaharuan itu mendesak dengan jangka hayat di China meningkat kepada 78 tahun pada 2021. Ia diunjurkan melebihi 80 tahun menjelang 2050.
"Ia adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan bagi China untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu pembangunan penduduk," kata Mo Rong, Pengarah Akademi Buruh dan Sains Sosial China kepada People's Daily.
Penduduk China telah berkurangan selama dua tahun berturut-turut dan dijangka terus menurun selama beberapa dekad, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas populasi yang semakin tua.
Pihak berkuasa kesihatan negara menjangkakan kumpulan mereka yang berumur 60 tahun ke atas akan meningkat daripada 280 juta kepada lebih 400 juta menjelang 2035, bersamaan dengan gabungan keseluruhan populasi Britain dan Amerika Syarikat ketika ini.
Mengikut data Kementerian Kewangan, sebanyak 11 daripada 31 bidang kuasa peringkat wilayah China sedang berdepan defisit belanjawan pencen.
Akademi Sains China yang dikendalikan kerajaan melihat sistem pencen akan kehabisan wang menjelang 2035.- REUTERS