fb fb fb fb fb

Empat orang maut, banjir di utara Thailand

Banjir di Hanoi, kesan dari taufan Yagi/ AFP

BANGKOK, 11 September- Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat dari Taufan Yagi meragut empat nyawa di utara Thailand dan menenggelamkan ribuan rumah.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata dua orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Chiang Mai, manakala dua orang lagi di Chiang Rai, yang bersempadan dengan Myanmar.

Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra berkata bantuan sedang dalam perjalanan kepada kira-kira 9,000 keluarga yang terjejas di wilayah utara Chiang Mai dan Chiang Rai. Kerajaan menggerakkan tentera untuk membantu penduduk yang terjejas.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan telah mengerahkan kakitangan perubatan, sukarelawan dan pekerja penyelamat untuk memindahkan warga emas ke tempat yang lebih selamat.

Jabatan Meteorologi Thailand juga menjangkakan bahawa lebih banyak hujan lebat sehingga Selasa depan dan membawa risiko banjir kilat.

"Antara 13-17 September, sila berhati-hati dengan kemungkinan bahaya yang disebabkan oleh hujan lebat hingga sangat lebat," katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, perubahan iklim menyebabkan corak cuaca lebih eksterm yang boleh menyebabkan banjir yang merosakkan.

Menurut Pusat Operasi Kecemasan, seramai 29 orang terbunuh akibat bencana berkaitan hujan lebat sejak awal musim.-AFP

ROSLINA BINTI DIN