fb fb fb fb fb

China bantu Fiji bangunkan pelabuhan

Perdana Menteri Fiji, Sitiveni Rabuka (kiri) bertemu Presiden China, Xi Jinping pada Sidang APEC di San Francisco minggu lalu/FOTO FB SRabuka

SYDNEY, 22 November - China bakal membantu Fiji bagi membangunkan pelabuhan dan limbungan kapal di negara kepulauan Pasifik berkenaan, kata Perdana Menteri Fiji, Sitiveni Rabuka pada Rabu.

Kerjasama tersebut bakal meningkatkan prospek hubungan yang lebih kukuh di antara kedua-dua negara terutamanya dalam bidang ekonomi.

Rabuka, yang sebelum ini mengambil langkah berhati-hati tentang perluasan pengaruh China di Pasifik memuji Beijing yang menawarkan bantuan kepada negara itu dalam memerangi COVID-19 di samping membangun dan merombak struktur bidang pertanian negara berkenaan.

Pemodenan kemudahan pelabuhan dan limbungan kapal adalah "fokus utama bagi pembangunan ekonomi yang mampan, kata Rabuka kepada parlimen negara itu selepas bertemu dengan Presiden China Xi Jinping minggu lalu.

"Saya menjangkakan potensi kerjasama dengan China dalam usaha itu," kata pemimpin Fiji itu.

Dalam perkara sama, Presiden China, Xi Jinping berjanji untuk membantu Fiji menjaga keselamatan dan kedaulatannya selain bekerjasama dalam bidang infrastruktur.

Menurut Kementerian Luar China, kenyataan Jinping itu diluahkan ketika pertemuannya dengan Rabuka di sidang kemuncak ekonomi Asia Pasifik di San Francisco minggu lalu.

Tahun lalu, tindakan China yang menandatangani perjanjian pertahanan secara rahsia dengan kepulauan Solomon menimbulkan kebimbangan kuasa barat tentang kemungkinan campur tangan ketenteraan di negara tersebut-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD