fb fb fb fb fb

China, Kesatuan Eropah (EU) gantung import ayam dari Brazil

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 17 Mei - China dan Kesatuan Eropah (EU) menggantung import daging ayam dari Brazil selepas pengesahan wabak selesema burung di sebuah ladang di Rio Grande do Sul, selatan Brazil.

Menurut Kementerian Pertanian Brazil, sekatan eksport ini dilaksanakan sebagai menghormati perjanjian yang telah dibuat bersama China dan EU, yang akan berkuat kuasa selama 60 hari melibatkan seluruh negara.

China merupakan pengimport utama ayam Brazil, dengan lebih 562,000 tan dibeli pada 2024, melebihi 10 peratus daripada jumlah eksport Brazil.

Sementara itu, EU mengimport lebih 231,000 tan tahun lalu, iaitu 4.5 peratus daripada eksport negara itu.

Kementerian memberi jaminan bahawa virus selesema burung tidak boleh dijangkiti manusia melalui pengambilan daging ayam atau telur. Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan bahawa jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan dijangkiti dan boleh menyebabkan penyakit serius.

Keputusan tersebut jelas memberi tamparan hebat kepada Brazil, yang merupakan pengeksport ayam terbesar di dunia. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN