fb fb fb fb fb

Carian runtuhan gua ais di Iceland dihentikan

Pihak berkuasa Iceland telah menghentikan operasi mencari dua individu yang dipercayai hilang selepas runtuhan gua ais di glasier Breidamerkurjokull / Foto AFP

REYKJAVIK, 27 Ogos – Pihak berkuasa di Iceland telah menghentikan operasi mencari dua individu yang dipercayai hilang selepas runtuhan gua ais di glasier Breidamerkurjokull pada hujung minggu lalu.

Seorang lelaki warga Amerika disahkan maut dalam kejadian tersebut, manakala kesemua yang lain telah dikenal pasti selamat, menurut kenyataan polis pada Isnin.

Kejadian berlaku semasa sekumpulan 23 orang pelancong sedang dalam lawatan ke glasier tersebut.

Pada awalnya, kumpulan pelancong itu dilaporkan terdiri daripada 25 orang, namun jumlah tersebut dikemas kini selepas siasatan lanjut.

Menurut Polis Sudurland, operasi pencarian diteruskan untuk memastikan tiada sesiapa yang terperangkap, susulan "maklumat yang bercanggah tentang bilangan orang dalam lawatan tersebut."

Lelaki warga Amerika itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang wanita, yang dipercayai tunangnya, cedera dan kini berada dalam keadaan stabil di hospital.

Lebih daripada 200 anggota penyelamat terlibat dalam operasi mencari dalam keadaan yang disifatkan sebagai "sukar," dengan mereka terpaksa mengalihkan blok-blok ais besar secara manual.

Glasier Breidamerkurjokull, lokasi kejadian, terletak berhampiran lagun glasier Jokulsarlon, salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di Iceland.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN