TEHRAN, 26 Jun- Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei menegaskan, campur tangan Amerika Syarikat(AS) terhadap perang antara Israel dan Iran hanya sia-sia.
Menurutnya, AS gagal mencapai sebarang kejayaan ketenteraan sambil menyifatkan tindak balas Iran sebagai tamparan hebat buat Washington.
Dalam kenyataan disiarkan melalui platform X, Khamenei memberitahu, Iran telah berjaya menyerang dan merosakkan Pangkalan Udara Al-Udeid di Doha, Qatar yang merupakan antara fasiliti ketenteraan paling penting milik AS di Asia Barat.
“Republik Islam memberikan tamparan keras ke muka Amerika. Kami menyerang dan menjejaskan Pangkalan Al-Udeid, simbol kekuatan ketenteraan AS di rantau ini,” katanya.
Khamenei juga memaklumkan, serangan AS pada 22 Jun lalu yang melancarkan bom konvensional terbesarnya itu hanya melambatkan program nuklear Iran selama beberapa bulan, bukannya musnah sepenuhnya.
Tindakan AS menyertai Israel dalam serangan terhadap Iran hanya akan mencetuskan konflik lebih besar di rantau itu. -REUTERS