IRAN, 26 Jun- Presiden Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB), Payman Jebelli mengecam serangan udara Israel ke atas ibu pejabat stesen penyiaran itu, minggu lalu.
IRIB turut mengumumkan tindakan undang-undang terhadap Israel atas pelanggaran kebebasan media dan bersuara.
Menurut Payman, bangunan berkenaan mengalami kerosakan teruk selepas diserang ketika siaran langsung pada 16 Jun.
Lebih enam peluru berpandu dilancarkan Israel itu mengenai sebahagian bangunan dan studio utama yang telah mengganggu siaran langsung berkenaan.
"Apabila Israel sanggup menyerang media secara terbuka di depan dunia, jelas mereka tidak peduli soal hak asasi atau norma moral," katanya.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas Israel melancarkan serangan besar ke atas Iran yang menyasarkan tapak nuklear dan ketenteraan, serta menyebabkan kematian pegawai kanan tentera, saintis nuklear, dan orang awam. Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel.
Konflik selama 12 hari itu mengorbankan lebih 600 orang di Iran. Banyak pusat penyelidikan, kemudahan ketenteraan, dan infrastruktur musnah akibat serangan Israel.
Mengumumkan tamatnya peperangan pada Selasa, Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyeru semua agensi kerajaan dan institusi revolusi supaya menumpukan usaha kepada pemulihan dan pembinaan semula negara. -REUTERS