fb fb fb fb fb

WHO hantar bantuan perubatan sejak Mac

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. \ Foto AFP

GENEVA, 26 Jun- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan telah menghantar bantuan perubatan pertamanya ke Gaza sejak 2 Mac lalu, namun menyifatkan jumlahnya masih terlalu kecil berbanding keperluan sebenar.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memaklumkan, bantuan yang dihantar itu merangkumi plasma darah, bekalan perubatan penting dan 2,000 unit darah.

Kesemua bekalan itu dibawa masuk melalui Lintasan Kerem Shalom.

Menurut Tedros, bekalan plasma dan darah berkenaan kini disimpan di fasiliti sejuk Kompleks Perubatan Nasser dan akan disalurkan ke hospital yang berdepan kekurangan bekalan kritikal disebabkan peningkatan jumlah mangsa cedera, termasuk mereka yang cedera ketika sedang menunggu bantuan makanan.

Setakat ini, 17 daripada 36 hospital di Gaza masih beroperasi secara minimum dan separa. Selebihnya langsung tidak berfungsi disebabkan kerosakan serta serangan yang berterusan.

Katanya, empat lagi trak bantuan masih berada di lintasan Kerem Shalom manakala beberapa lagi dijangka tiba tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, WHO turut menyeru agar bantuan kesihatan dibenarkan dibawa masuk tanpa halangan dan secara berterusan. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH