fb fb fb fb fb

Buzz Aldrin berkahwin pada hari lahir ke-93

(FOTO AFP)

LOS ANGELES, 22 Januari - Angkasawan lagenda Apollo 11, Buzz Aldrin, orang kedua yang menjejakkan kaki di bulan berkahwin dengan teman wanitanya pada hari jadinya yang ke-93, semalam.

Aldrin dan Anca Faur, yang juga Naib Presiden Eksekutif Buzz Aldrin Ventures, melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis tertutup.

(Gambar angkasawan, Buzz Aldrin yang diambil pada 7 Februari 2018 / FOTO FAIL AFP)

"Pada hari lahir saya yang ke-93, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa cinta lama saya Dr Anca Faur, diikat menerusi tali pertunangan.

"Kami disatukan dalam perkahwinan suci dalam satu majlis peribadi yang kecil di Los Angeles dan berasa teruja," katanya dalam ciapan Twitter sambil menunjukkan gambar bersama Faur, yang dilaporkan berusia 63 tahun.

Menurut profil LinkedInnya, Faur memperoleh ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan kimia dari Universiti Pittsburgh pada 1996 dan sebelum ini pernah bekerja untuk Union Carbide dan Johnson Matthey sebelum menyertai Buzz Aldrin Ventures.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai bendahari untuk Majlis Perniagaan Hidrogen California.

Tiga perkahwinan Aldrin sebelum ini berakhir dengan perceraian.

Angkasawan Amerika Syarikat (AS) itu ialah ahli terakhir misi Apollo 11 yang masih hidup, yang mana beliau dan Neil Armstrong menjadi orang pertama yang menjejakkan kaki di bulan, pada 20 Julai 1969.

Michael Collins, yang mengemudi modul pengangkutan meninggal dunia pada April 2021 manakala manakala Armstrong, rakan angkasawan Aldrin yang berjalan di permukaan bulan, meninggal dunia pada 2012.

Sejak bersara dari Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) pada 1971, Aldrin kekal sebagai penyokong kuat penerokaan angkasa lepas.

Sebuah kawah di bulan berhampiran tapak pendaratan Apollo 11 dinamakan sempena beliau sebagai penghormatan. -AFP

Media Baharu