fb fb fb fb fb

Rusia tembak jatuh enam dron Ukraine menuju Moscow

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin/REUTERS

MOSCOW, 7 Julai -Pasukan pertahanan udara Rusia menembak jatuh enam dron Ukraine yang dipercayai menuju ke Moscow pada Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin memaklumkan, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Katanya, pakar-pakar sedang menjalankan siasatan terhadap serpihan dron yang ditemui berhampiran ibu kota.

Sementara itu, Gabenor wilayah Leningrad St Petersburg turut memaklumkan, dua dron telah ditembak jatuh, tanpa sebarang kemusnahan atau kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Rusia, Rosaviatsiya melaporkan, puluhan penerbangan tertangguh kerana penutupan sementara beberapa lapangan terbang di Moscow, St Petersburg dan bandar-bandar serantau lain.

Kementerian Pertahanan Rusia sebelum itu melaporkan bahawa sebanyak 39 dron Ukraine telah dipintas dan dimusnahkan.

Menurut kementerian itu lagi, 120 dron Ukraine telah ditembak jatuh oleh unit pertahanan udara Rusia sepanjang malam, terutamanya di wilayah-wilayah yang bersempadan dengan Ukraine. - REUTERS

TETITIA YUSOFF