FOTO AFP
PARIS, 30 Januari- Mahkamah Perancis pada Sabtu menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun kepada dua lelaki Mesir kerana membunuh seorang pelacur transgender.
Vanesa Campos, 36 tahun dari Peru, maut ditembak di dada pada Ogos 2018 di Bois de Boulogne, sebuah taman berhutan di barat Paris yang telah lama menjadi zon pelacuran.
Polis kemudiannya melakukan pencarian segera dengan menumpukan perhatian kepada sekumpulan lelaki lelaki yang berasal dari Mesir, yang telah mengadakan apa yang disebut oleh pendakwa sebagai "ekspedisi menghukum" terhadap Campos.
Mahkamah Paris mendapati Mahmoud Kadri, 24, dan Karim Ibrahim, 29, bersalah atas "pembunuhan berkumpulan", pertuduhan mereka telah berulang kali dinafikan, sebaliknya kedua-duanya menyalahkan satu sama lain.
Terdahulu pada hari Sabtu, di penghujung perbicaraan yang bermula 11 Januari, kedua-duanya menyatakan kesal dan sedih atas apa yang berlaku.
"Saya mohon maaf atas segala yang berlaku. Saya minta maaf," kata Kadri yang berbahasa Arab itu melalui jurubahasa sebelum menitiskan air mata.
Sebelum perbincangan bermula, Ibrahim memberitahu mahkamah dalam bahasa Perancis bahawa dia "sangat menyesal untuk semua itu".
Pihak pendakwaan telah mengesyorkan pada Khamis supaya Kadri dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.
Dia telah menafikan dakwaan rakan tertuduhnya bahawa dia menembak dan membunuh Campos pada malam 16-17 Ogos 2018.
Pihak pendakwaan mengesyorkan 15 tahun penjara untuk Ibrahim, menuduhnya bersubahat dalam pembunuhan tersebut.
Sebulan sebelum kematiannya, Campos adalah antara kumpulan yang mengupah pengawal untuk melindungi mereka semasa bekerja di taman hutan yang gelap itu.
Penyerang bersenjatakan gas pemedih mata, dahan pokok, pisau, senapang dan pistol yang dicuri seminggu sebelum itu dari kereta polis ketika pegawai itu bersama seorang pekerja seks.
Enam lelaki, berusia 23 hingga 34 tahun, turut dijatuhkan hukuman.
Salah seorang daripada mereka dipenjara enam tahun kerana keganasan yang membawa kepada kematian yang tidak disengajakan.
Empat lagi menerima hukuman yang berbeza sehingga enam tahun penjara kerana terlibat dalam serangan itu.
Tertuduh keenam dipenjarakan selama lima tahun kerana mencuri pistol tersebut.
Ibu dan kakak Campos, yang tinggal di Peru, adalah plaintif sivil dalam kes itu bersama enam bekas rakan sekerjanya, pengawal peribadi, persatuan advokasi transgender Acceptess-T dan kumpulan sokongan pelacur Mouvement du Nid.
Acceptess-T menyatakan peningkatan keganasan terhadap pekerja seks berpunca daripada undang-undang 2016 yang mengharamkan aktiviti 'membeli' seks di Perancis tetapi tidak menghalang 'penjualan'.
Sesetengah kumpulan menyatakan undang-undang itu membantu melindungi wanita daripada pemerdagangan dan eksploitasi dengan tidak menggalakkan pelacuran, ramai pekerja seks mengatakan ia telah menjadikan pekerjaan mereka lebih berbahaya dan menyebabkan kehilangan pendapatan. - AFP