CHICAGO, 12 Januari- Edisi bahasa Inggeris memoir Putera Harry yang telah mencetuskan kontroversi, terjual lebih 1.4 juta pada hari pertama berada di pasaran.
Penguin Random House yang menerbitkan autobiografi bertajuk "Spare" itu telah melaporkan jumlah jualan paling banyak pada hari pertama berbanding mana-mana buku bukan fiksyen yang pernah diterbitkan oleh syarikat itu.
Menurut penerbit itu, Spare edisi bahasa Inggeris terjual lebih 1,430,000 unit dalam semua format dan edisi di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain pada 10 Januari.
Bercakap mengenai rekod jualan, presiden dan penerbit Random House Group Gina Centrello berkata,"Walaupun banyak buku oleh tokoh masyarakat boleh dikategorikan sebagai 'memoir selebriti,' Spare lain daripada yang lain.
"Tulus ikhlas, berani dan mesra, Spare melambangkan kisah seseorang yang pada sangkaan kita mungkin sudah mengenalinya, tetapi kini kita dapat benar-benar mengenali Putera Harry melalui luahannya sendiri.
"Melihat kepada penjualan luar biasa pada hari pertama, pembaca jelas bersetuju, Spare sebuah buku yang perlu dibaca dan kami bangga dapat menerbitkan buku ini."
(Autobiografi bertajuk "Spare" / FOTO AFP)
Spare telah diterbitkan di seluruh dunia dalam 16 bahasa dan dikeluarkan secara serentak dalam format cetak dan digital di Amerika Utara oleh Random House US serta Random House Canada dan di Britain oleh Transworld.
Di Britain buku itu ia dijual pada harga £14 (AS$16) manakala di Waterstones dan WH Smith serta dalam talian di Amazon ia dijual pada harga £28. -AFP