fb fb fb fb fb

Britain, Australia dan Kanada iktiraf negara Palestin

Gelombang sokongan antarabangsa meningkat selepas Britain, Australia dan Kanada iktiraf Palestin. Foto- AFP

LONDON, 22 September - Britain, Australia dan Kanada secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, langkah bersepadu yang disifatkan sebagai peralihan besar daripada dasar luar Barat selama berdekad-dekad serta mencetuskan kemarahan Israel.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berkata pengiktirafan itu dibuat bagi menghidupkan semula harapan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara.

“United Kingdom secara rasmi mengiktiraf negara Palestin,” katanya dalam kenyataan di platform X.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menulis bahawa Ottawa mengiktiraf Palestin dan menawarkan kerjasama untuk membina masa depan yang aman.

Manakala Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menegaskan langkah itu mengiktiraf aspirasi rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai langkah penting dan perlu untuk mencapai keamanan berkekalan.

Sebaliknya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengecam tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan memberi amaran ia boleh mengancam kewujudan Israel.

Portugal turut mengumumkan akan membuat pengiktirafan rasmi di New York, manakala Perancis dan beberapa negara dijangka mengikut jejak sama pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Langkah berkenaan menjadikan tiga negara itu sebagai anggota pertama Kumpulan Tujuh (G7) mengiktiraf Palestin, sekali gus meletakkan mereka bercanggah dengan Amerika Syarikat (AS) yang masih menolak pengiktirafan tersebut.

Presiden AS, Donald Trump, minggu lalu mengakui wujud perbezaan pendapat dengan Starmer mengenai isu berkenaan.

Pengiktirafan itu hadir ketika serangan Israel ke atas Gaza berlanjutan sejak hampir dua tahun lalu dengan angka korban melebihi 65,000 orang, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf PBB.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN