fb fb fb fb fb

Presiden Brazil lantik pengganti Almeida terpalit gangguan seksual

Macae Evaristo dilantik menjadi Menteri Hak Asasi Manusia baharu Brazil

BRASILIA, 10 September- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada Isnin melantik seorang ahli parlimen wanita, Macae Evaristo, sebagai menteri hak asasi manusia selepas memecat pendahulunya atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa rakan sekerja wanita.

Evaristo, seorang penggubal undang-undang dari negeri Minas Gerais di tenggara Brazil, di mana dia juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha pendidikan kulit hitam pertama, menggantikan Silvio Almeida, menurut pengumuman Lula di media sosial Bluesky.

Almeida telah dipecat pada Jumaat lepas berikutan dakwaan mengganggu beberapa wanita, termasuk Menteri Kesaksamaan Kaum, Anielle Franco.

Skandal tersebut, yang menyebabkan kemarahan di Brazil, adalah yang pertama seumpamanya melibatkan anggota kerajaan Lula sejak pemimpin kiri veteran itu kembali berkuasa tahun lalu.

Polis persekutuan sedang menyiasat dakwaan yang dilaporkan kepada persatuan wanita, Me Too Brasil, dan suruhanjaya etika presiden turut mengumumkan bahawa ia juga telah melancarkan siasatan.

Almeida, seorang peguam berusia 48 tahun dan profesor universiti yang dianggap sebagai salah seorang intelektual terkemuka di Brazil, menafikan tuduhan itu sebagai pembohongan yang bertujuan untuk mencemarkan imej "seorang lelaki kulit hitam yang memegang jawatan penting dalam kerajaan."

Dia kemudiannya menyatakan bahawa dia telah meminta untuk dilepaskan dari tugasnya untuk memberinya peluang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE