(FOTO HIASAN)
BRASILIA, 22 Julai- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menandatangani dekri untuk mengehadkan akses orang awam kepada senjata api, dalam usahanya untuk mengurangkan ledakan pemilikan senjata api ketika pemerintahan Jair Bolsonaro.
Bawah Bolsonaro, pemilikan senjata api persendirian meningkat hampir tiga kali ganda.
Semasa tempoh pemerintahan Bolsonaro, dia melonggarkan kawalan terhadap pemilikan senjata api.
"Kami akan terus memperjuangkan untuk mengurangkan pemilikan senjata api di negara kami. Hanya polis dan tentera mesti bersenjata lengkap," kata Lula di Brasilia ketika beliau mendedahkan beberapa siri langkah mengekang keganasan.
Tindakan itu dibuat selepas beberapa kejadian tembakan di sekolah baru-baru ini di negara yang mencatatkan lebih daripada lima pembunuhan sejam secara purata pada 2022, menurut Forum Keselamatan Awam, sebuah NGO.
Dekri Lula mengenai "kawalan senjata yang bertanggungjawab" akan menyaksikan seorang individu dihadkan kepada dua senjata untuk mempertahankan diri.
Sesiapa yang ingin mendapatkan pistol perlu membuktikan bahawa mereka memerlukannya.
Jika sebelum ini pemburu, penembak sukan dan pengumpul dibenarkan untuk memiliki 30 laras senjata api, kini jumlah itu dihadkan kepada enam sahaja.
Pembelian peluru juga akan dihadkan, begitu juga dengan waktu buka lapang sasar tembak yang tidak lagi dapat beroperasi dalam jarak satu kilometer (0.6 batu) dari sekolah.
Menurut NGO antikeganasan Instituto Sou da Paz, terdapat lebih sejuta senjata dimiliki orang awam berada dalam daftar di Brazil menjelang Julai 2022. Jumlah itu hampir tiga kali ganda sebelum Bolsonaro memegang jawatan.
Dekri baharu itu "mewakili satu langkah ke hadapan untuk kembali kepada standard tanggungjawab dan penguatkuasaan undang-undang dalam kawalan senjata di Brazil," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Pentadbiran Lula juga memperkenalkan rang undang-undang untuk mengeraskan lagi hukuman bagi keganasan di sekolah.-AFP
(FOTO HIASAN)