(FOTO REUTERS)
NEW DELHI, 22 Julai- Sekumpulan wanita di negeri Manipur di timur laut India menyerang rumah suspek utama dalam kes serangan seksual yang telah menimbulkan kemarahan seluruh negara, kata polis negeri pada Jumaat.
Suspek didakwa telah mengheret dua wanita ke jalan raya pada bulan Mei dan menghasut orang ramai untuk merogol dan mengarak mereka dalam keadaan berbogel.
Serangan seksual itu berlaku lebih dua bulan lalu tetapi ia hanya menarik perhatian negara selepas video mengenainya tular di media sosial minggu ini, sekali gus mencetuskan kekacauan di Manipur.
Suspek utama, seorang penduduk Manipur, telah ditahan pada Khamis beberapa jam selepas Perdana Menteri Narendra Modi mengutuk serangan itu sebagai "memalukan" dan menjanjikan tindakan tegas.
Tiga lagi turut ditahan dan polis sedang mengesan sekurang-kurangnya 30 yang lain terlibat dalam jenayah itu.
“Sekumpulan wanita membaling batu dan membakar beberapa bahagian rumah milik tertuduh utama di sebuah kampung,” kata Hemant Pandey, pegawai kanan polis di ibu negeri Imphal.
"Kami meminta wanita untuk membantah secara aman kerana terdapat keebimbangan yang ia mungkin menjadi lebih parah. Kami memahami kemarahan mereka," katanya.
Aduan polis yang difailkan pada Mei menyatakan bahawa kumpulan bersenjata merosakkan beberapa rumah dan membakarnya sehingga rentung di sebuah kampung di daerah Kangpokpi .
Kumpulan perusuh itu, menurut aduan, kemudian melakukan serangan seksual terhadap dua wanita berusia 21 dan 19 tahun yang diarak berbogel.
Serangan itu dilaporkan oleh mangsa pada Mei apabila negeri itu menyaksikan pertempuran etnik yang sengit. Pergaduhan itu dicetuskan oleh perintah mahkamah bahawa kerajaan harus mempertimbangkan untuk meluaskan faedah istimewa yang dinikmati oleh orang suku Kuki kepada majoriti penduduk Meitei juga.
Sekurang-kurangnya 125 orang telah terbunuh dan lebih 40,000 telah meninggalkan rumah mereka sejak keganasan meletus.
Protes telah dirancang di beberapa bahagian di India oleh kumpulan hak asasi manusia yang menuntut keadilan dan siasatan pantas terhadap insiden terbaharu itu untuk menimbulkan persoalan mengenai keselamatan wanita di negara itu.
"Kami ingin tahu mengapa polis gagal mengambil tindakan pantas apabila mereka mengetahui bahawa wanita dirogol dan diarak dalam keadaan bogel di Manipur," kata Radhika Burman, seorang pelajar di timur bandar Kolkata yang mengetuai demonstrasi awam pada Khamis.
Beratus-ratus penunjuk perasaan di bandar selatan Bengaluru berarak, dengan beberapa sepanduk bertulis; "Tubuh wanita bukan medan perang". Mereka turut mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa menyiasat kes yang didaftarkan oleh dua mangsa daripada komuniti suku minoriti pada Mei lalu.
"Ini adalah ketidakadilan dan pengabaian yang teruk," kata H. J. Lakshmi, dari Samakaleena Samajik Sanskritik Vedike, sebuah organisasi masyarakat sivil di Bengaluru.
Demonstrasi serupa telah diadakan di bandar timur Bhubaneswar dan di beberapa kampus kolej di seluruh negara.-REUTERS
(FOTO REUTERS)