fb fb fb fb fb

Bot migran karam: Seorang maut, 40 hilang di Crete

Bot tersebut dilaporkan tenggelam kira-kira 12 batu nautika di barat daya pulau Crete/Foto fail

ATHENS, 14 Disember – Seorang lelaki maut dan 40 lagi dilaporkan hilang apabila sebuah bot yang membawa migran karam di perairan Crete pada lewat Sabtu.

Menurut pengawal pantai Greece seramai 39 mangsa berjaya diselamatkan dalam insiden itu.

Bot tersebut dilaporkan tenggelam kira-kira 12 batu nautika di barat daya pulau Crete, seperti yang dilaporkan oleh ERTNEWS, dengan 40 individu masih belum ditemukan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di kawasan selatan pulau Gavdos selepas bot itu terbalik sejurus selepas tengah malam tadi.

Operasi menyelamat melibatkan sebuah frigat Itali dan helikopter, sementara lebih banyak kapal dikerahkan ke lokasi kejadian.

Media tempatan melaporkan seorang lelaki diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital di bandar Chania, Crete, dan kini berada di unit rawatan rapi.

Tahun ini, Greece mencatatkan peningkatan 25 peratus kemasukan migran yang melarikan diri daripada perang dan kemiskinan.

Kementerian migrasi melaporkan sebanyak 30 peratus peningkatan direkodkan di Rhodes dan kawasan tenggara Aegean

Beberapa kejadian serupa telah berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada akhir November, lapan migran, termasuk enam kanak-kanak, maut di utara pulau Samos di laluan yang sering digunakan oleh penyeludupan manusia. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN