BOGOTA, 10 Julai- Sekurang-kurangnya seorang maut apabila sebuah bot yang membawa 18 pendatang tanpa izin karam di pantai Caribbean Colombia pada Selasa.
15 orang telah diselamatkan, enam daripadanya adalah kanak-kanak, agensi imigresen Colombia memberitahu menerusi platform X.
Bagaimanapun, dua lagi dikhuatiri lemas apabila dilaporkan hilang.
Insiden itu berlaku berhampiran pulau San Andres dan Providencia, berhampiran sempadan Colombia dengan Nicaragua.
Pegawai tentera berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh unit tindak balas pantas tentera laut bersama tentera udara.
Pada bulan Mei, Washington mengenakan sekatan ke atas Nicaragua, menuduhnya membantu penyeludupan pendatang tanpa izin yang ingin pergi ke Amerika Syarikat.
Colombia berkata migran menggunakan laluan sulit antara San Andres dan Nicaragua untuk mengelakkan lintasan berbahaya melalui hutan Darien antara Colombia dan Panama, menuju ke utara melalui Amerika Tengah dan akhirnya ke Mexico dan sempadan AS.-AFP