fb fb fb fb fb

Jerebu: Bolivia tutup lebih 3,000 sekolah akibat kebakaran hutan

Bolivia mengeluarkan 'amaran kesihatan merah' berhubung pencemaran asap di Santa Cruz/AFP

LA PAZ, 26 Oktober- Lebih 3,000 buah sekolah di Bolivia ditutup sesi persekolahan kerana ancaman pencemaran udara disebabkan kebakaran hutan besar-besaran.

Santa Cruz yang merupakan pusat ekonomi negara dan wilayah paling ramai penduduk dilapor paling terjejas dengan keadaan jerebu.

Menteri Pendidikan, Edgar Pary berkata, puluhan ribu pelajar digantung kelas mereka susulan kira-kira 3,650 buah sekolah iaitu sekitar 15 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di negara itu ditutup sehingga Jumaat.

Menurut Kementerian Alam Sekitar, sekurang-kurangnya dua juta hektar (4.9 juta ekar) hutan dan padang rumput terbakar tahun ini susulan amalan membakar untuk tujuan pertanian.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Maria Rene Castro mengeluarkan amaran kesihatan termasuk saranan supaya orang ramai memakai topeng muka, mengurangkan aktiviti fizikal, dan orang tua, kanak-kanak dan wanita hamil untuk tinggal di dalam rumah.

Anggota bomba sedang giat memadam kebakaran namun berdepan cabaran kerana kekurangan sumber air di tengah-tengah negara itu dilanda kemarau. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA